SEGAMAT: Mural bertemakan 'Kereta Api Merentas Masa' yang disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR), disasar menjadi daya tarikan baharu di sini, sekali gus menyemarakkan lagi industri pelancongan Segamat.
Hasil karya itu terpampang pada dinding luar bangunan kedai bertemakan kereta api di Jalan Abdullah di bandar lama Segamat. Mural berkenaan berukuran 10.4 meter tinggi dan 12.5 meter lebar, diiktiraf sebagai mural bermotif kereta api terbesar di Malaysia.
Sijil pengiktirafan MBOR diserahkan wakilnya, Lee Pooi Leng kepada pengasas GSM Chicken Station, Ghai Swee Leng yang memulakan inisiatif lukisan mural terbabit, menggambarkan pertemuan kereta api wap dari era 1954 dan kereta api moden era 2024.
Konsep mural berkenaan diilhamkan Swee Leng dan direalisasikan oleh artis mural terkenal, Tan Jian Siong dari Muar dengan naratif visual mengenai perjalanan masa dan kemajuan teknologi.
Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jementah, Ng Kor Sim yang menjangka mural berkenaan dapat menjadi tarikan pelancong di Segamat dan melonjakkan industri itu apabila Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) mula beroperasi awal Oktober ini.
“Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022, salah satu janji pilihan raya saya adalah untuk membangunkan industri pelancongan di Segamat. Saya yakin apabila perkhidmatan ETS beroperasi kelak, kita akan melihat pelancongan di sini semakin berkembang.
“Pengunjung dari utara seperti Pulau Pinang dan juga kawasan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta lain-lain negeri akan dapat melawat Segamat dengan mudah menggunakan kereta api,” kata Kor Sim.
Jelasnya, mural itu berfungsi untuk menghubungkan semula komuniti dengan warisan melalui visual sejarah kereta api Segamat yang beroperasi menerusi stesen dilancarkan secara rasmi pada 1 Julai 1926.
Bagi laluan landasan, jambatan pertama dibina di Segamat pada tahun sama, diikuti satu lagi jambatan di Buloh Kasap, yang juga jambatan terpanjang di Johor ketika itu.
“Segamat antara daerah paling maju di Johor suatu ketika dulu. Saya berharap Segamat dapat bangkit semula dan menjadi antara daerah paling makmur di Johor kerana kedudukannya strategik antara Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan,” ujarnya.
Terdahulu pada 21 Julai lalu, Pejabat ADUN Jementah menganjurkan ‘Karnival Keretapi Go Go Go’ untuk menyemarakkan industri pelancongan di sini.
Program dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut mengumumkan khidmat ETS akan diperluaskan ke Segamat menjelang awal Oktober.
Source: Berita Harian